Sunday 2 December 2012

Mungkinkah Dia Imamku?


Entah kenapa hatiku gelisah, berdebar kencang dari pagi tadi. Adakah kerana pembentangan hari ini? Mr West mahu aku ikut serta dalam RGM (Mesyuarat Bulanan General Manager) kali ini. Katanya agar aku pun turut mendapat kredit atas usaha keras kami selama ini.  Projek dua tahun ini mendapat perhatian CEO. Usai dhuha, aku menarik nafas panjang. Ku panjatkan doa pada Ilahi agar tenang hati ini. 
Bilik Mesyuarat Pluto
"Macam mana Umar?", tanya Pengurus Operasi kami. Mataku alihkan kepada lelaki itu. Terpaku aku. Subhanallah. Sosok tubuhnya benar-benar mirip dengan bayang lelaki yang kulihat dalam istikharahku kelmarin.
Pandangan mata kami bertemu. Senyum. Serentak itu, hatiku tenang, bagai semilir angin yang lalu. Allah Allah.
"Mungkinkah dia imamku?" Bisik hatiku penuh debar.
7 hari.
"Diba, awak tolong jumpa Umar. Dapatkan pandangan dia tentang paten komunikasi pekerja indonesia di sini."
"Erkk.. " Aku terkedu. Ya Allah, dekatkanlah dia padaku jika benar dia jodohku. Pada usia 32 tahun ini, hanya tawakal penguat semangatku. Aku yakin, pada ketika dan orang yang tepat, Allah pasti akan menjawab doaku.
Umar Budiharto. Itulah namanya. Baru ku tahu, dia itu berasal dari Bekasi, Indonesia. Cuma aku masih tak pasti apakah status dirinya. Selama ini tekadku, tak mungkin aku menjadi pemusnah kebahagiaan wanita lain.
Mengenalinya, aku rasa bagaikan sudah kenal lama. Tak sukar untuk mencari keserasian antara kami. Dia seperti aku, gilakan fotografi dan seni. Kami sering outing bersama teman-teman Kelab Fotografi. Dia buat aku selesa ,kerana solat tetap di jaga. Pesanannya selalu, mulakan walau sekecil apa pun kerja dengan Bismillah. Masakan tidak, tiga tahun di pesantren telah membentuk dirinya. Malah, sama seperti aku, dia juga memasang hajat membawa bonda dan ayahanda tercinta menunaikan manasik Haji.
Betapa sempurnanya lelaki ini di mataku. Hingga kini, soalan yang satu itu cuba kumatikan dalam benakku. Aku takut dengan jawapannya. Setelah rasa cinta ini membuak di dada, adakah mampu aku bertahan andai dia terhempas begitu sahaja. 
7 minggu
Telahanku benar. Sudah lima tahun dia berkahwin, tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun tak pernah sekali pun dia mengatakan yang buruk tentang Kak Ayu, isterinya. Betapa bertuahnya kau kak. Oleh kerana tiada pelepasan majikan, Kak Ayu masih di Bekasi. Terpempan aku saat dia menyuarakan hasrat untuk mempertemukan aku dengan KakAyu. Adakah tega aku bertentang mata dengannya. Wanita yang bakal ku rampas separuh dari jiwanya. Pujukan Umar meyakinkan aku untuk bertemu. Ku salam dan ku cium tangan wanita itu. Dia tersenyum . Rupanya banyak yang telah Umar ceritakan tentang aku. Selepas berbasa basi, kak Ayu memulakan bicara.
"Akak rela berkongsi kasih. Mungkin ini cara Allah memberi rahmatNya.'
Sunyi. 
Haruskah aku gembira. Aku tak pasti. Antara prinsip dengan cinta dalam hati. Lama diam itu pengisi sunyi. Masing-masing dalam fikiran sendiri. Ku renung lembut wajah kak Ayu. Tulus wajahnya , setulus hatinya. Hujan di hatiku makin sarat. Dan entah dari mana datangnya kekuatan itu.
"Maafkan saya kak. Saya tidak pasti yang saya mampu ikhlas berkongsi kasih dengan akak. Apa mungkin memang Umar dijadikan sebagai pembela wanita, yang mampu menyebarkan cintanya buat kita berdua, itupun saya tak pasti. Berilah saya peluang untuk mencari ketenangan hati dan kekuatan diri. Mungkin ada baiknya kita tangguhkan dulu soal ini. Andai memang ini suratanNya."
Kaki terus ku bawa lari keluar dari KLCC. Empang air mata yang kutahan dari tadi, pecah akhirnya .
"Ya Allah. Aku tidak tahu , ya Allah... Tiada satu pun rahsia Mu dalam pengetahuanku. "
Makkah, 17 Ramadhan 1433H
Selesai sudah tawaf sunat ku. Aku menghela nafas. Alhamdulillah. Masih sudi Kau menerima aku sebagai tetamu Mu. Aku kembali pada Mu ya Allah. Ampunkan aku kerna selalu mencari cinta lain selain Engkau. Malunya aku. Kutundukkan wajahku , lalu bersujud. Aku redha atas segala ketentuanmu. Terimalah taubatku. Air mataku bercucuran. Hanya pada Tuhan Kaabah ini aku meratap. Biarlah kukhabarkan cintaku hanya padaNya.
'"Assalamualaikum Diba". Ku seka airmataku. Saat ku angkat wajahku, ku lihat dia. Ya, dialah lelaki itu. Dialah imamku. Terima kasih Allah.
Penulis asal : Nazlin Akma Adam
Sumber : www.iluvislam.com

Adab Bersembang


Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.

2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.
3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."

Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
Sumber : www.iluvislam.com/

Friday 30 November 2012

Halal Haram: Gelatin dalam Industri


Kapitalisme menjadikan banyak pemain industri makanan yang membelakangkan kepentingan pengguna Islam

Masih ingatkah lagi tulisan saya pada Kolum Halal Haram Bil.2? Saya telah menyentuh berkenaan ramuan kritikal dalam makanan. Yang terlepas, saran saya agar dapatkannya segera.

Baik. Penulisan kali ini saya ingin menerangkan berkaitan salah satu ramuan kritikal iaitu gelatin. Kalau dahulu cuma sepintas lalu sahaja, namun kali ini saya akan memperincikannya untuk kefahaman dan manfaat kita bersama.
Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita kenali dahulu apa itu gelatin.

Gelatin ialah bahan protein yang berasal dari kolagen. Ia sejenis protein semulajadi yang terkandung dalam tendon, tulang dan kulit haiwan. Gelatin juga sejenis protein hasilan yang larut dalam dan dihasilkan melalui satu proses hidrolisi ke atas kolagen.

Gelatin dikategorikan sebagai protein tulen iaitu tidak mengandungi lemak dan karbohidrat. Di Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebahagian Negara Eropah, penggunaan gelatin di dalam makanan tidak memerlukan spesifikasi. Ini bermakna kita tidak akan menjumpainya pada label produk.

Gelatin dihasilkan dalam bentuk kepingan dan serbuk. Gelatin memiliki sifat yang pelbagai fungsi dan luar biasa. Sifat-sifat seperti penstabil, pemekat, penggebu, pengental dan pengenyal  telah menjadikannya sebagai satu komoditi yang sangat berharga dan penting dalam pemprosesan makanan dan farmaseutikal.

Seperti yang saya terangkan di atas, sifatnya sangat pelbagai fungsi menyebabkan ia digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Sedar atau tidak, sememangnya gelatin wujud hampir sebahagian besar makanan, ubatan dan kosmetik.
Budaya Barat menjadi ikutan dalam menyambut hari lahir. Tak lengkap tanpa kek. Tapi halalkah kek yang anda beli?

Gelatin menjadi aditif yang penting dalam makanan. Hampir setiap kek, minuman bersusu, keju, mentega, marjerin, gula-gula, aiskrim, roti, jeli, gula-gula getah, pencuci mulut, marshmellow dan coklat yang kita makan itu mengandungi gelatin.
Biasa dihidang di Hari Lebaran. Bimbang terhidang yang haram, syubhah

Rasa lazat yang anda nikmati, bentuk yang cantik, tekstur yang gebu apabila dikunyah, pekat berkrim apabila diminum, nilai makanan yang lebih baik, mencair di dalam mulut dan seumpamanya adalah hasil daripada manfaat gelatin itu tadi.

Sememangnya gelatin sangat berfungsi dalam memberikan apa sahaja kebaikan dan nilai tambah pada makanan yang kita ambil.
Gelatin tidak asing dalam industri farmaseutikal

Begitu juga dalam pembuatan farmaseutikal. Disebabkan gelatin mudah larut dalam perut, ia digunakan secara meluas bagi menghasilkan kapsul ubat-ubatan. Turut sama diguna bagi menghasilkan ubat tablet dengan campuran agen pelincir dan anti pelekat. Begitu juga dalam pembuatan supositori iaitu pepejal beberentuk kelongsong atau kon untuk dimasukkan ke dalam rektum atau dubur.

Baik, kita teliti pula sumbernya. Seperti sedia maklum, inilah antara elemen kritikal yang akan mementukan halal haramnya sesuatu produk itu. Islam melihat kepada sumbernya selain proses pembuatan.

Gelatin boleh didapati dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan.

Babi dan lembu adalah dua sumber utama gelatin
Sumber haiwan lazimnya didapati daripada babi atau lembu. Ini kerana dua binatang ia adalah sumber daging paling utama di dunia. Ada juga yang diperoleh daripada sumber laut seperti ikan. Tetapi ia sangat terhad bahkan mahal.

Sungguhpun gelatin itu bersumberkan lembu. Seperkara ia adalah haiwan yang halal dimakan, cuma persoalannya di sini, adakah ia disembelih menurut syarak?

Firman Allah Azzawajalla: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah”. [An-Nahl: 115]
Justeru, apabila ketidakpastian ini wujud, kita mengkategorikannya sebagai syubhah.

Maka pesan Nabi s.a.w: “…Barangsiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya”. [HR Bukhari & Muslim]

Oleh yang demikian, saya mengingatkan sesama kita. Tolong pelihara sungguh makan minum. Ingatlah bahawa Islam ia datangnya untuk memelihara manusia antaranya di sudut agama dan kehormatan diri.
Sekiranya kita menjaga halal haram dalam kehidupan kita. Apalagi di zaman yang penuh mencabar dan Islam kembali dagang ini, sesungguhnya kita telah memenuhi saranan kekasih kita, Muhammad s.a.w.

Wallahu a’lam.

Sumber : http://arrazzi.blogspot.com

Tuesday 28 August 2012

Duhai Wanita...


Andai belum sampai jodohmu
Anggaplah bahawa lelaki yang engkau nantikan itu
Sedang membina sahsiah kepimpinan
Bagi memimpin dirimu
Yang akan menjadi imam
Kerana pada wanita itu
Pasti ada kekurangan dan
Lelaki yang benar-benar layak sahaja
Pasti akan hadir untuk melengkapkan kekuranganmu…



Sunday 26 August 2012

Sejenak Terpaku...



Sejenak terpaku tatkala pertama kali aku melihatmu. Dirimu memiliki aura yang membuatkan aku ingin mengenalimu. Melalui seorang rakan, aku dapat mengetahui serba sedikit tentang dirimu. 3 tahun berlalu, akhirnya kita dipertemukan semula di Bumi yang Indah dan Permai. Biarpun hanya seketika, aku amat menghargainya. Ya Allah, tolong pelihara dia untukku. Kerana Engkaulah sebaik-baik pemelihara. Amin…

Lagu Doa Seorang Kekasih dendangan kumpulan nasyid Inteam pun berkumandang di corong-corong radio di seluruh dunia. Hehehe… (^_^)v

*MASUMOSHAF27ogos2012*

Kurindu Kasih Sayangmu...




Tatkala sepi bertamu tanpa diundang, dalam kepekatan malam yang sunyi, ku dongak ke langit yang indah dihiasi bulan mengambang dan bintang-bintang berkerlipan. Terasa tiupan bayu menampar-nampar lembut pipiku.  Telingaku dapat menangkap dengan jelas bunyi desiran ombak menghempas pantai. Dari jendela kamar yang menghala ke arah Selat Tebrau ini, dapat kulihat dengan jelas cahaya daripada rumah api yang menyuluh sekitar pantai. Fikiranku mula melayang. Peristiwa petang tadi berputar kembali dalam ingatan. Aku sendiri tidak menyangka bahawa aku akan bertindak sebegitu rupa.

Setelah menanggalkan kasut, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Hajat di hati ingin melepaskan penat lelah dan berehat di dalam bilik. “Yaya, kamu dari mana ni? Kenapa lambat sangat balik? Dah pukul berapa sekarang? Dah nak masuk waktu Maghrib ni,” soal emak bertubi-tubi. Sungguh lembut pertanyaan itu, tetapi dalam keadaan sebegini, telingaku seakan-akan terbakar mendengarnya. “Kalau abah tahu kamu balik lambat macam ni, dah tentu dia mengamuk. Yaya, kamu kan dah besar, dah tujuh belas tahun. Anak dara sunti pula tu. Tak manis orang tengok anak dara balik waktu-waktu macam ni,” emak menyambung lagi. Sebagai anak, aku tahu aku tidak boleh membantah kata-kata ibu bapa. Apatah lagi apa yang diperkatakan itu adalah benar. Tetapi, “Alah mak ni, Yaya letih la. Yaya tahu abah mesti mengamuk, tapi kan sekarang abah takda kat rumah. Lainlah kalau ada orang yang jadi informer untuk bagitau kat abah. Lagi pun Yaya dah besar lah mak. Yaya tahu la nak jaga diri sendiri. Peduli apa orang lain nak kata? Kita dengan hal kita, orang lain kenapa nak masuk campur. Yaya pergi belajar kat rumah kawan. Bukannya buat benda yang tak elok pun.  Yaya tahu apa yang Yaya buat. Orang lain tak payah nak masuk campur dan jadi penyibuk,” lantang sekali aku bersuara tanpa dirancang. Bibir mongelku begitu lancar mengeluarkan kata-kata pedih itu. Kulihat wajah emak berubah tatkala mendengar jawapan biadap daripadaku. “Yaya, apa dah jadi dengan kamu ni? Sejak bila dah pandai menjawab cakap orang? Mak dan abah tak pernah ajar kamu adik-beradik bersikap macam tu,” kedengaran suara emak tersekat-sekat. “Cubalah beradab sikit. Tengok abang dan kakak kamu tu. Tak pernah mereka meninggikan suara. Sopan santun, ramah, hormat orang tua. Mungkin itu lah berkat mereka berjaya dalam hidup,” ujar emak.

                “Mak ni tak habis-habis puji abang dan kakak. Sikit-sikit abang kakak, sikit-sikit abang kakak, takda nama lain ke? Yaya bosan la. Mentang-mentanglah mereka tu anak kesayangan mak dan abah, tak habis-habis nak puji mereka. Habis tu, Yaya ni apa? Tunggul kayu? Patung hiasan? Yaya tahu takda sesiapa pun yang sayangkan Yaya kat dalam rumah ni. Yaya dah bosan. Yaya taknak dengar lagi semua ni. Cukuuuuppppp!!!!!!,” aku menjerit sekuat hati. Tiba-tiba, paaanngggggg!!!!!!!! Satu tamparan hebat hinggap di pipi kananku yang mulus. Pipiku terasa panas. Aku meraba bibirku. Terasa ada cecair  panas yang mengalir. Darah. Aku menoleh. Kulihat tangan abang mahu mendarat ke tubuhku tetapi sempat dihalang oleh emak. Wajah abang yang sudah merah padam itu kelihatan seperti singa yang mahu membaham mangsanya. Begitu menakutkan. Aku yang tersembam mencium lantai, segera mencapai beg sekolah lantas berlari menaiki tangga menuju ke bilik. Aku menghempaskan tubuh ke atas tilam. Sayup-sayup ku dengar suara emak menegur perbuatan abang. “Khalil, kenapa kamu tampar adik kamu tu? Sampai tersembam dia ke lantai. Kalau jadi apa-apa kat Yaya, kita juga yang susah Khalil,” suara emak penuh kerisauan. “Biarkan dia mak, itulah pengajaran untuk budak yang biadap macam Yaya tu. Biar dia insaf,” ujar abang yang masih lagi meluap-luap kemarahannya. “Bukan macam tu caranya nak mengajar adik kamu tu Khalil,”  ujar emak dalam nada sendu.

 Tanpa disedari manik-manik jernih memenuhi kolam mataku. Perlahan-lahan rantaian manik-manik jernih itu mengalir satu demi satu menuruni pipi. Tangisanku semakin rancak. Serancak desiran ombak memukul pantai. Senduku semakin jelas kedengaran. Aku menangis sepuas-puasnya. Bukan kerana pipiku sakit ditampar oleh abang tetapi sedar, insaf dan menyesal atas segala perbuatan biadapku terhadap emak. Aku sendiri tidak sedar bagaimana aku boleh bertindak sebegitu rupa. Mujur ada abang. Jika tidak, semakin melimpah-limpah dosa yang akan kulakukan.

Emak, seorang wanita berusia empat puluhan. Surirumah tangga sepenuh masa. Begitu cekal dan tabah mengharungi cabaran dan liku-liku kehidupan bersama suami tercinta iaitu abahku. Emak juga sanggup berkorban dan bergadai nyawa demi melahirkan, membesarkan dan mendidik ketiga-tiga orang anaknya. Beliau seorang wanita, isteri dan ibu yang begitu bertanggungjawab terhadap keluarga. Juga seorang hamba yang sangat taat kepada perintah Yang Maha Pencipta. Curahan kasih sayangnya tidak pernah berkurangan malah semakin bertambah hari demi hari terhadap kami sekeluarga. Tidak pernah sekali pun tembolok kami dibiarkan kosong tidak berisi. Jasa dan bakti beliau yang amat bernilai itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Tidak pernah aku dibiarkan keseorangan menghadapi hidup ini. Wajahnya yang lembut dan penuh sifat keibuan, begitu mendamaikan hatiku. Tidak pernah sekelumit pun beliau memarahi, meninggi suara apatah lagi memukulku. Yang selalu  ada hanyalah belaian, usapan, kucupan, kata-kata perangsang, nasihat dan tunjuk ajar seorang emak kepada anaknya. Tetapi inikah balasanku terhadapnya? Oh tidaaakkkk. Aku selalu mengguris hatinya. Aku kerap menyebabkan emak mengalirkan air mata atas perbuatanku. Terlalu banyak dosaku terhadap beliau.  Aku kini sedar akan kesilapan, dosa serta balasan atas sikap biadapku terhadap emak.

                Aku tergamam separuh nanar tatkala terasa bahuku disentuh lembut. Aku menoleh. “Yaya, kenapa tak tidur lagi? Dah lewat malam ni sayang,” sapa emak lembut sambil mengusap kepalaku. “Kenapa Yaya menangis?” soal emak dengan penuh sifat keibuan. “Mak, tolong ampunkan Yaya mak. Yaya banyak berdosa pada mak. Yaya tak patut buat hati mak terguris. Yaya tahu mak banyak menangis sebab perbuatan Yaya terhadap mak. Yaya tak patut balas segala jasa mak dengan kelakuan biadap Yaya tu. Tolong ampunkan Yaya mak, ampunkan Yaya, ampunkan Yaya mak,”  aku mengongoi lantas mendakap erat tubuh emak. Air mataku membasahi bahu emak. Hujan air mataku seakan tidak mahu berhenti mencurah seiring dengan dosaku yang menggunung tinggi  terhadap emak. “Sudah lah tu Yaya.  Usah  dibazirkan air mata tu. Mak dah maafkan segala-galanya. Percayalah sayang,” emak memujuk sambil mengusap-usap belakangku. Aku benar-benar terharu dengan keluhuran hati emak. Insan yang telah banyak menabur bakti terhadapku.

                Ya Rabbul Izzati, di lorong gelisah ini, hamba-Mu iaitu aku, ingin mengutip redha-Mu, mengemis ampunan-Mu, menadah rahmat-Mu, mengharap kasih sayang-Mu, memohon izin-Mu, agar Kau kurniakan aku sifat seperti emak yang sempuna pada pandanganku.

                Buat emak yang kusayangi, maafkan segala dosa anakmu ini. Aku amat merindui kasih sayangmu.

*MASUMOSHAF26ogos2012*

Kebesaran ALLAH S.W.T...





Friday 10 August 2012

Hakikat Sebuah Perjuangan...

Kadang-kadang perjuangan ini terasa perit likunya... Kadang-kadang rasa indah benar tarbiyahnya... Bayangan perjuangan insan terdahulu sukar untuk dibayangkan, kerana hebat sungguh jiwa mereka menentang kemungkaran yang bertandang dalam diri... Bagaimana mungkin kita warisan hari ini menjejaki langkah perjuangan insan terdahulu yang sarat dengan mehnah tapi tetap cekal meneruskan hak perjuangan... Hati, iman, amal perlu dijaga rapi... Moga-moga suatu masa nanti kitalah warisan insan terdahulu yang mampu menongkah arus perjuangan yang kian getir dan mencabar... Aku harap aku, kau dan kalian mampu berganding tenaga, amal dan fikrah demi merealisasikan sebuah perjuangan yang suci... Demi melihat ISLAM sebati dalam diri... Memburu redha dan kasih sayang daripada Yang Maha Pencipta......

Ketentuan Daripada-Nya...


Hari ini sebelum kita mengeluarkan kata-kata yang tidak baik,
Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.
Hari ini sebelum kita mengeluh tentang kehidupan,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.
Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri kita,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Allah untuk diberikan teman hidup.
Oleh itu, belajarlah untuk menerima ketentuan daripada-Nya dengan redha. 

Terima Seadanya...


Apabila kita ingin berkawan, janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan satu kelemahan, kita mungkin akan menjauhinya. 
Andai kita ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya, kerana mungkin dengan satu keburukan, kita akan membencinya. 
Andai kita inginkan sahabat yang satu, janganlah kerana ilmunya, kerana apabila dia buntu, kita mungkin akan memfitnahnya. 
Andai kita inginkan seorang teman, janganlah kerana sifat cerianya, kerana andai dia tidak pandai menceriakan, kita mungkin akan menyalahkannya. 
Andai kita ingin bersahabat, terimalah dia seadanya, kerana dia seorang sahabat, yang hanya manusia biasa.

Jangan diharapkan sempurna, kerana kita juga tidak sempurna. 

Thursday 9 August 2012

Indahnya Persahabatan...



Sahabatku,
Indahnya ukhuwah fillah
manisnya persahabatan
sekiranya ia bertunaskan Allah dan berakarkan Islam

Sahabatku,
Kelazatan bersahabat akan di rasai
sekiranya bertemu ia kerana Allah
berpisah ia kerana Allah jua

Sahabatku,
Erti persahabatan yang hakiki akan tercapai
sekiranya ia dibajai dengan kejujuran dan keikhlasan

Sahabatku,
Ukhuwah fillah akan tercetus
sekiranya tali persahabatan  diikat dengan tali keimanan dan ketaqwaan

Sahabatku,
Kemanisan bersahabat akan bertunas
sekiranya sifat persefahaman dan rela berkorban wujud dalam sanubari insan yang bersahabat

Sahabatku,
persahabatan sejati nan abadi lagi suci akan wujud
sekiranya ia disirami dengan kesucian hati demi menuju mardatillah

Sahabatku,
Sebuah persahatan yang diikat akan terputus jua
sebuah persahabatan yang terjalin akan terlerai jua pada suatu hari
sama ada ia kehendak Allah atau kita sendiri penyebabnya

Sahabatku,
Apa yang perlu dilahirkan dalam hati seorang insan yang inginkan persahabatan,
ialah kepercayaan sepenuhnya serta berani menerima kenyataan
bahawa setiap pertemuan, akan ada satu ketika satu saat yang paling di benci oleh insan yang bergelar manusia
iaitu saat perpisahan

Sahabatku,
Seandainya perpisahan itu merupakan suatu ujian daripada-Nya
sabar dan tabahkanlah hatimu
mungkin akan tiba pada suatu hari cahaya yang bakal menyinari hidupmu di kemudian hari.

Sahabatku,
teruskan perjuanganmu
sesungguhnya perjuangan kita masih belum selesai
pintu kejayaan masih terbuka luas buat insan yang bersungguh-sungguh.
Semoga engkau tergolong dalam golongan itu
InsyaAllah.

Sahabatku,
Sesungguhnya mencari sahabat yang jujur dan setia itu
Ibarat mencari sebutir permata di sebalik timbunan kaca

Ikhlas,
Daripada sahabatmu.

Pada Celahan Rumput Itu...


Pada celahan rumput itu, kita mencari sesuatu. Tapi biar bertepatan pada waktu, usah terlalu menunggu.
Perasaan akan sentiasa melintas, umpama padang akan sentiasa ditumbuhi rumput. Usah dicari perasaan yang hakiki, kerana semuanya dugaan yang berhikmat tinggi.
Pada celahan rumput itu, kita terlalu mencari, akan menyusul kecewa berganti. Jika kita benar-benar menyedari, pada hemat sebuah rasa, maka, kenapa kita perlu takut untuk tidak mengendahkan. Perasaan akan sering hadir, jerihlah kita untuk sentiasa melayani.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka, maka, kita perlu suka apa yang telah kita dapat.
Pada celahan rumput itu, pasti ada, rasa yang benar hakiki. Cuma, mohon ditetapkan hati, agar segalanya bererti, bukan hanya, mainan sebuah kehidupan dan perasaan.

Wanita Solehah...


Jadilah wanita solehah, seindah mawar berduri. Akhlaknya indah bak haruman, kelembutan bak rintik, kesopanan anggun menutupi diri, memelihara diri daripada pandangan ajnabi. Tawadhuknya mengharap redha Ilahi, tak terpana pada fana dunia. Ditetapkan ALLAH buat lelaki soleh. Moga segala cinta dan rindu terpendam, hanya untuk suami tercinta. Terletak ketaatan maka sempurnalah agamamu. Kau lah bidadari syurga cerminan Ainul Mardhiyyah. “benar ketetapan-Mu Tuhanku, wanita solehah permata buat lelaki soleh.”

Rindu Padamu...



Sejak kau tiada… aku sering menyendiri berbual dengan pokok betik untuk  mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan mu yang berada jauh denganku. Aku cuba bermain badminton sambil makan mi hailam untuk  mengurangkan perasaan rindu. Tapi aku tak terdaya. Lalu aku membelasah 4 ekor itik serati jiran sebelah tanda aku amat rindu padamu.

Saturday 4 August 2012

MSR Amos Cookies


Bahan-bahan :-

  •  250gm butter
  • 150gm gula halus
  • 150gm gula perang (brown sugar)
  • 1 sudu teh esen vanilla
  •  2 biji telur (2 kuning & 1 putih)
  •  450gm tepung naik sendiri
  • 170gm chocolate chip
  • 150gm kacang walnut atau almond (dicincang)
  • 1/4 sudu teh soda bikarbonat


Cara-cara :-

  1. Pukul butter hingga gebu
  2. Masukkan kedua-dua jenis gula tadi, esen vanilla dan telur. Putar hingga rata.
  3. Masukkan tepung, soda bikarbonat, chocolate chip, almond atau walnut dan dikacau rata.
  4. Ambil sesudu adunan tadi dan letak di atas dulang pembakar. (untuk lebih cantik, tekan dengan garpu).
  5. Bakar pada suhu 150° – 170° selama 15 – 20 minit.

Wednesday 1 August 2012

Di Atas Kesedaran Itu...

Lupakan apa yang telah berlalu
Mahalkan nilai air matamu
Usah diseksa perasaan itu
Hanya ALLah yang tahu... (^_^)v

*MASUMOSHAFogos2012*

Monday 30 July 2012

Aku Yang Baru...


Tak perlu berpaling ke belakang
Yang hanya akan menggores luka lama
Yang akan mengalirkan air mata di pipi
Kini ku bangkit
Terus melihat ke hadapan
Sambil melemparkan senyuman... ^_^

*MASUMOSHAFjulai2012*

Sunday 29 July 2012

Keliru...


Tak mudah untuk ku luahkan
Perasaan yang menghuni hati
Tiada keberanian untuk mengetahui jawapan
Bimbang kiranya bakal menggores hati ini
Aku juga keliru
Adakah itu hanya perasaan berterima kasih
Atas budi yang pernah ditabur
Lantas ku hanya berani untuk memerhati dari jauh
Andai dia bukan dicipta untukku
Hapuskan dia dari hati dan ingatanku
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Mengetahui…

*MASUMOSHAFmei2012*

Saturday 28 July 2012

MSR Chocolate Chip Almond Muffin...




BAHAN-BAHAN : 

170 g gula halus (castor sugar)
4 biji telur gred A
340 g tepung naik sendiri
10 g serbuk koko (diayak sekali dengan tepung)
170 gram mentega
160 ml susu segar
1 camca teh esen vanilla
Chocolate chip
Badam cincang
Coloured rice

CARA-CARA :

(1)  Panaskan oven pada suhu 175°C. Putar mentega dengan gula hingga putih, masukkan telur satu persatu sambil      terus memutar hingga kembang dan gebu.
(2) Masukkan esen vanilla dan putar. Perlahankan speed dan masukkan tepung berselang seli dengan susu segar tadi hingga habis. Gaul rata.
(3) Masukkan badam cincang dan chocolate chip dan gaul sebati.
(4) Sudukan adunan ke dalam mangkuk muffin sehingga 3/4 penuh. 
(5) Taburkan coloured rice ke atas adunan.
(6) Masukkan ke dalam oven. Bakar selama 20 hingga 25 minit dengan suhu 180°C.
(7) Keluarkan daripada oven dan sejukkan atas jaringan hingga betul2 sejuk.

Selamat mencuba! ^_^