Tuesday, 28 August 2012

Duhai Wanita...


Andai belum sampai jodohmu
Anggaplah bahawa lelaki yang engkau nantikan itu
Sedang membina sahsiah kepimpinan
Bagi memimpin dirimu
Yang akan menjadi imam
Kerana pada wanita itu
Pasti ada kekurangan dan
Lelaki yang benar-benar layak sahaja
Pasti akan hadir untuk melengkapkan kekuranganmu…



Sunday, 26 August 2012

Sejenak Terpaku...



Sejenak terpaku tatkala pertama kali aku melihatmu. Dirimu memiliki aura yang membuatkan aku ingin mengenalimu. Melalui seorang rakan, aku dapat mengetahui serba sedikit tentang dirimu. 3 tahun berlalu, akhirnya kita dipertemukan semula di Bumi yang Indah dan Permai. Biarpun hanya seketika, aku amat menghargainya. Ya Allah, tolong pelihara dia untukku. Kerana Engkaulah sebaik-baik pemelihara. Amin…

Lagu Doa Seorang Kekasih dendangan kumpulan nasyid Inteam pun berkumandang di corong-corong radio di seluruh dunia. Hehehe… (^_^)v

*MASUMOSHAF27ogos2012*

Kurindu Kasih Sayangmu...




Tatkala sepi bertamu tanpa diundang, dalam kepekatan malam yang sunyi, ku dongak ke langit yang indah dihiasi bulan mengambang dan bintang-bintang berkerlipan. Terasa tiupan bayu menampar-nampar lembut pipiku.  Telingaku dapat menangkap dengan jelas bunyi desiran ombak menghempas pantai. Dari jendela kamar yang menghala ke arah Selat Tebrau ini, dapat kulihat dengan jelas cahaya daripada rumah api yang menyuluh sekitar pantai. Fikiranku mula melayang. Peristiwa petang tadi berputar kembali dalam ingatan. Aku sendiri tidak menyangka bahawa aku akan bertindak sebegitu rupa.

Setelah menanggalkan kasut, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Hajat di hati ingin melepaskan penat lelah dan berehat di dalam bilik. “Yaya, kamu dari mana ni? Kenapa lambat sangat balik? Dah pukul berapa sekarang? Dah nak masuk waktu Maghrib ni,” soal emak bertubi-tubi. Sungguh lembut pertanyaan itu, tetapi dalam keadaan sebegini, telingaku seakan-akan terbakar mendengarnya. “Kalau abah tahu kamu balik lambat macam ni, dah tentu dia mengamuk. Yaya, kamu kan dah besar, dah tujuh belas tahun. Anak dara sunti pula tu. Tak manis orang tengok anak dara balik waktu-waktu macam ni,” emak menyambung lagi. Sebagai anak, aku tahu aku tidak boleh membantah kata-kata ibu bapa. Apatah lagi apa yang diperkatakan itu adalah benar. Tetapi, “Alah mak ni, Yaya letih la. Yaya tahu abah mesti mengamuk, tapi kan sekarang abah takda kat rumah. Lainlah kalau ada orang yang jadi informer untuk bagitau kat abah. Lagi pun Yaya dah besar lah mak. Yaya tahu la nak jaga diri sendiri. Peduli apa orang lain nak kata? Kita dengan hal kita, orang lain kenapa nak masuk campur. Yaya pergi belajar kat rumah kawan. Bukannya buat benda yang tak elok pun.  Yaya tahu apa yang Yaya buat. Orang lain tak payah nak masuk campur dan jadi penyibuk,” lantang sekali aku bersuara tanpa dirancang. Bibir mongelku begitu lancar mengeluarkan kata-kata pedih itu. Kulihat wajah emak berubah tatkala mendengar jawapan biadap daripadaku. “Yaya, apa dah jadi dengan kamu ni? Sejak bila dah pandai menjawab cakap orang? Mak dan abah tak pernah ajar kamu adik-beradik bersikap macam tu,” kedengaran suara emak tersekat-sekat. “Cubalah beradab sikit. Tengok abang dan kakak kamu tu. Tak pernah mereka meninggikan suara. Sopan santun, ramah, hormat orang tua. Mungkin itu lah berkat mereka berjaya dalam hidup,” ujar emak.

                “Mak ni tak habis-habis puji abang dan kakak. Sikit-sikit abang kakak, sikit-sikit abang kakak, takda nama lain ke? Yaya bosan la. Mentang-mentanglah mereka tu anak kesayangan mak dan abah, tak habis-habis nak puji mereka. Habis tu, Yaya ni apa? Tunggul kayu? Patung hiasan? Yaya tahu takda sesiapa pun yang sayangkan Yaya kat dalam rumah ni. Yaya dah bosan. Yaya taknak dengar lagi semua ni. Cukuuuuppppp!!!!!!,” aku menjerit sekuat hati. Tiba-tiba, paaanngggggg!!!!!!!! Satu tamparan hebat hinggap di pipi kananku yang mulus. Pipiku terasa panas. Aku meraba bibirku. Terasa ada cecair  panas yang mengalir. Darah. Aku menoleh. Kulihat tangan abang mahu mendarat ke tubuhku tetapi sempat dihalang oleh emak. Wajah abang yang sudah merah padam itu kelihatan seperti singa yang mahu membaham mangsanya. Begitu menakutkan. Aku yang tersembam mencium lantai, segera mencapai beg sekolah lantas berlari menaiki tangga menuju ke bilik. Aku menghempaskan tubuh ke atas tilam. Sayup-sayup ku dengar suara emak menegur perbuatan abang. “Khalil, kenapa kamu tampar adik kamu tu? Sampai tersembam dia ke lantai. Kalau jadi apa-apa kat Yaya, kita juga yang susah Khalil,” suara emak penuh kerisauan. “Biarkan dia mak, itulah pengajaran untuk budak yang biadap macam Yaya tu. Biar dia insaf,” ujar abang yang masih lagi meluap-luap kemarahannya. “Bukan macam tu caranya nak mengajar adik kamu tu Khalil,”  ujar emak dalam nada sendu.

 Tanpa disedari manik-manik jernih memenuhi kolam mataku. Perlahan-lahan rantaian manik-manik jernih itu mengalir satu demi satu menuruni pipi. Tangisanku semakin rancak. Serancak desiran ombak memukul pantai. Senduku semakin jelas kedengaran. Aku menangis sepuas-puasnya. Bukan kerana pipiku sakit ditampar oleh abang tetapi sedar, insaf dan menyesal atas segala perbuatan biadapku terhadap emak. Aku sendiri tidak sedar bagaimana aku boleh bertindak sebegitu rupa. Mujur ada abang. Jika tidak, semakin melimpah-limpah dosa yang akan kulakukan.

Emak, seorang wanita berusia empat puluhan. Surirumah tangga sepenuh masa. Begitu cekal dan tabah mengharungi cabaran dan liku-liku kehidupan bersama suami tercinta iaitu abahku. Emak juga sanggup berkorban dan bergadai nyawa demi melahirkan, membesarkan dan mendidik ketiga-tiga orang anaknya. Beliau seorang wanita, isteri dan ibu yang begitu bertanggungjawab terhadap keluarga. Juga seorang hamba yang sangat taat kepada perintah Yang Maha Pencipta. Curahan kasih sayangnya tidak pernah berkurangan malah semakin bertambah hari demi hari terhadap kami sekeluarga. Tidak pernah sekali pun tembolok kami dibiarkan kosong tidak berisi. Jasa dan bakti beliau yang amat bernilai itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Tidak pernah aku dibiarkan keseorangan menghadapi hidup ini. Wajahnya yang lembut dan penuh sifat keibuan, begitu mendamaikan hatiku. Tidak pernah sekelumit pun beliau memarahi, meninggi suara apatah lagi memukulku. Yang selalu  ada hanyalah belaian, usapan, kucupan, kata-kata perangsang, nasihat dan tunjuk ajar seorang emak kepada anaknya. Tetapi inikah balasanku terhadapnya? Oh tidaaakkkk. Aku selalu mengguris hatinya. Aku kerap menyebabkan emak mengalirkan air mata atas perbuatanku. Terlalu banyak dosaku terhadap beliau.  Aku kini sedar akan kesilapan, dosa serta balasan atas sikap biadapku terhadap emak.

                Aku tergamam separuh nanar tatkala terasa bahuku disentuh lembut. Aku menoleh. “Yaya, kenapa tak tidur lagi? Dah lewat malam ni sayang,” sapa emak lembut sambil mengusap kepalaku. “Kenapa Yaya menangis?” soal emak dengan penuh sifat keibuan. “Mak, tolong ampunkan Yaya mak. Yaya banyak berdosa pada mak. Yaya tak patut buat hati mak terguris. Yaya tahu mak banyak menangis sebab perbuatan Yaya terhadap mak. Yaya tak patut balas segala jasa mak dengan kelakuan biadap Yaya tu. Tolong ampunkan Yaya mak, ampunkan Yaya, ampunkan Yaya mak,”  aku mengongoi lantas mendakap erat tubuh emak. Air mataku membasahi bahu emak. Hujan air mataku seakan tidak mahu berhenti mencurah seiring dengan dosaku yang menggunung tinggi  terhadap emak. “Sudah lah tu Yaya.  Usah  dibazirkan air mata tu. Mak dah maafkan segala-galanya. Percayalah sayang,” emak memujuk sambil mengusap-usap belakangku. Aku benar-benar terharu dengan keluhuran hati emak. Insan yang telah banyak menabur bakti terhadapku.

                Ya Rabbul Izzati, di lorong gelisah ini, hamba-Mu iaitu aku, ingin mengutip redha-Mu, mengemis ampunan-Mu, menadah rahmat-Mu, mengharap kasih sayang-Mu, memohon izin-Mu, agar Kau kurniakan aku sifat seperti emak yang sempuna pada pandanganku.

                Buat emak yang kusayangi, maafkan segala dosa anakmu ini. Aku amat merindui kasih sayangmu.

*MASUMOSHAF26ogos2012*

Kebesaran ALLAH S.W.T...





Friday, 10 August 2012

Hakikat Sebuah Perjuangan...

Kadang-kadang perjuangan ini terasa perit likunya... Kadang-kadang rasa indah benar tarbiyahnya... Bayangan perjuangan insan terdahulu sukar untuk dibayangkan, kerana hebat sungguh jiwa mereka menentang kemungkaran yang bertandang dalam diri... Bagaimana mungkin kita warisan hari ini menjejaki langkah perjuangan insan terdahulu yang sarat dengan mehnah tapi tetap cekal meneruskan hak perjuangan... Hati, iman, amal perlu dijaga rapi... Moga-moga suatu masa nanti kitalah warisan insan terdahulu yang mampu menongkah arus perjuangan yang kian getir dan mencabar... Aku harap aku, kau dan kalian mampu berganding tenaga, amal dan fikrah demi merealisasikan sebuah perjuangan yang suci... Demi melihat ISLAM sebati dalam diri... Memburu redha dan kasih sayang daripada Yang Maha Pencipta......

Ketentuan Daripada-Nya...


Hari ini sebelum kita mengeluarkan kata-kata yang tidak baik,
Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.
Hari ini sebelum kita mengeluh tentang kehidupan,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.
Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri kita,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Allah untuk diberikan teman hidup.
Oleh itu, belajarlah untuk menerima ketentuan daripada-Nya dengan redha. 

Terima Seadanya...


Apabila kita ingin berkawan, janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan satu kelemahan, kita mungkin akan menjauhinya. 
Andai kita ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya, kerana mungkin dengan satu keburukan, kita akan membencinya. 
Andai kita inginkan sahabat yang satu, janganlah kerana ilmunya, kerana apabila dia buntu, kita mungkin akan memfitnahnya. 
Andai kita inginkan seorang teman, janganlah kerana sifat cerianya, kerana andai dia tidak pandai menceriakan, kita mungkin akan menyalahkannya. 
Andai kita ingin bersahabat, terimalah dia seadanya, kerana dia seorang sahabat, yang hanya manusia biasa.

Jangan diharapkan sempurna, kerana kita juga tidak sempurna.