...Mahanim Suraya...
Wednesday, 5 December 2012
Sunday, 2 December 2012
Mungkinkah Dia Imamku?
Entah kenapa hatiku gelisah, berdebar kencang dari pagi tadi. Adakah kerana pembentangan hari ini? Mr West mahu aku ikut serta dalam RGM (Mesyuarat Bulanan General Manager) kali ini. Katanya agar aku pun turut mendapat kredit atas usaha keras kami selama ini. Projek dua tahun ini mendapat perhatian CEO. Usai dhuha, aku menarik nafas panjang. Ku panjatkan doa pada Ilahi agar tenang hati ini.
Bilik Mesyuarat Pluto
"Macam mana Umar?", tanya Pengurus Operasi kami. Mataku alihkan kepada lelaki itu. Terpaku aku. Subhanallah. Sosok tubuhnya benar-benar mirip dengan bayang lelaki yang kulihat dalam istikharahku kelmarin.
Pandangan mata kami bertemu. Senyum. Serentak itu, hatiku tenang, bagai semilir angin yang lalu. Allah Allah.
"Mungkinkah dia imamku?" Bisik hatiku penuh debar.
7 hari.
"Diba, awak tolong jumpa Umar. Dapatkan pandangan dia tentang paten komunikasi pekerja indonesia di sini."
"Erkk.. " Aku terkedu. Ya Allah, dekatkanlah dia padaku jika benar dia jodohku. Pada usia 32 tahun ini, hanya tawakal penguat semangatku. Aku yakin, pada ketika dan orang yang tepat, Allah pasti akan menjawab doaku.
Umar Budiharto. Itulah namanya. Baru ku tahu, dia itu berasal dari Bekasi, Indonesia. Cuma aku masih tak pasti apakah status dirinya. Selama ini tekadku, tak mungkin aku menjadi pemusnah kebahagiaan wanita lain.
Mengenalinya, aku rasa bagaikan sudah kenal lama. Tak sukar untuk mencari keserasian antara kami. Dia seperti aku, gilakan fotografi dan seni. Kami sering outing bersama teman-teman Kelab Fotografi. Dia buat aku selesa ,kerana solat tetap di jaga. Pesanannya selalu, mulakan walau sekecil apa pun kerja dengan Bismillah. Masakan tidak, tiga tahun di pesantren telah membentuk dirinya. Malah, sama seperti aku, dia juga memasang hajat membawa bonda dan ayahanda tercinta menunaikan manasik Haji.
Betapa sempurnanya lelaki ini di mataku. Hingga kini, soalan yang satu itu cuba kumatikan dalam benakku. Aku takut dengan jawapannya. Setelah rasa cinta ini membuak di dada, adakah mampu aku bertahan andai dia terhempas begitu sahaja.
7 minggu
Telahanku benar. Sudah lima tahun dia berkahwin, tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun tak pernah sekali pun dia mengatakan yang buruk tentang Kak Ayu, isterinya. Betapa bertuahnya kau kak. Oleh kerana tiada pelepasan majikan, Kak Ayu masih di Bekasi. Terpempan aku saat dia menyuarakan hasrat untuk mempertemukan aku dengan KakAyu. Adakah tega aku bertentang mata dengannya. Wanita yang bakal ku rampas separuh dari jiwanya. Pujukan Umar meyakinkan aku untuk bertemu. Ku salam dan ku cium tangan wanita itu. Dia tersenyum . Rupanya banyak yang telah Umar ceritakan tentang aku. Selepas berbasa basi, kak Ayu memulakan bicara.
"Akak rela berkongsi kasih. Mungkin ini cara Allah memberi rahmatNya.'
Sunyi.
Haruskah aku gembira. Aku tak pasti. Antara prinsip dengan cinta dalam hati. Lama diam itu pengisi sunyi. Masing-masing dalam fikiran sendiri. Ku renung lembut wajah kak Ayu. Tulus wajahnya , setulus hatinya. Hujan di hatiku makin sarat. Dan entah dari mana datangnya kekuatan itu.
"Maafkan saya kak. Saya tidak pasti yang saya mampu ikhlas berkongsi kasih dengan akak. Apa mungkin memang Umar dijadikan sebagai pembela wanita, yang mampu menyebarkan cintanya buat kita berdua, itupun saya tak pasti. Berilah saya peluang untuk mencari ketenangan hati dan kekuatan diri. Mungkin ada baiknya kita tangguhkan dulu soal ini. Andai memang ini suratanNya."
Kaki terus ku bawa lari keluar dari KLCC. Empang air mata yang kutahan dari tadi, pecah akhirnya .
"Ya Allah. Aku tidak tahu , ya Allah... Tiada satu pun rahsia Mu dalam pengetahuanku. "
Makkah, 17 Ramadhan 1433H
Selesai sudah tawaf sunat ku. Aku menghela nafas. Alhamdulillah. Masih sudi Kau menerima aku sebagai tetamu Mu. Aku kembali pada Mu ya Allah. Ampunkan aku kerna selalu mencari cinta lain selain Engkau. Malunya aku. Kutundukkan wajahku , lalu bersujud. Aku redha atas segala ketentuanmu. Terimalah taubatku. Air mataku bercucuran. Hanya pada Tuhan Kaabah ini aku meratap. Biarlah kukhabarkan cintaku hanya padaNya.
'"Assalamualaikum Diba". Ku seka airmataku. Saat ku angkat wajahku, ku lihat dia. Ya, dialah lelaki itu. Dialah imamku. Terima kasih Allah.
Penulis asal : Nazlin Akma Adam
Sumber : www.iluvislam.com
Adab Bersembang
Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi". Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.
2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)
(Hadis Riwayat Muslim)
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.
3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."
Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
Sumber : www.iluvislam.com/
Friday, 30 November 2012
Halal Haram: Gelatin dalam Industri
at 12:06 AM Posted by Arrazzi Alhafiz Alattas
Kapitalisme menjadikan banyak pemain industri makanan yang membelakangkan kepentingan pengguna Islam |
Masih ingatkah lagi tulisan saya pada Kolum Halal Haram Bil.2? Saya telah menyentuh berkenaan ramuan kritikal dalam makanan. Yang terlepas, saran saya agar dapatkannya segera.
Baik. Penulisan kali ini saya ingin menerangkan berkaitan salah satu ramuan kritikal iaitu gelatin. Kalau dahulu cuma sepintas lalu sahaja, namun kali ini saya akan memperincikannya untuk kefahaman dan manfaat kita bersama.
Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita kenali dahulu apa itu gelatin.
Gelatin ialah bahan protein yang berasal dari kolagen. Ia sejenis protein semulajadi yang terkandung dalam tendon, tulang dan kulit haiwan. Gelatin juga sejenis protein hasilan yang larut dalam dan dihasilkan melalui satu proses hidrolisi ke atas kolagen.
Gelatin dikategorikan sebagai protein tulen iaitu tidak mengandungi lemak dan karbohidrat. Di Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebahagian Negara Eropah, penggunaan gelatin di dalam makanan tidak memerlukan spesifikasi. Ini bermakna kita tidak akan menjumpainya pada label produk.
Gelatin dihasilkan dalam bentuk kepingan dan serbuk. Gelatin memiliki sifat yang pelbagai fungsi dan luar biasa. Sifat-sifat seperti penstabil, pemekat, penggebu, pengental dan pengenyal telah menjadikannya sebagai satu komoditi yang sangat berharga dan penting dalam pemprosesan makanan dan farmaseutikal.
Seperti yang saya terangkan di atas, sifatnya sangat pelbagai fungsi menyebabkan ia digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Sedar atau tidak, sememangnya gelatin wujud hampir sebahagian besar makanan, ubatan dan kosmetik.
Budaya Barat menjadi ikutan dalam menyambut hari lahir. Tak lengkap tanpa kek. Tapi halalkah kek yang anda beli? |
Gelatin menjadi aditif yang penting dalam makanan. Hampir setiap kek, minuman bersusu, keju, mentega, marjerin, gula-gula, aiskrim, roti, jeli, gula-gula getah, pencuci mulut, marshmellow dan coklat yang kita makan itu mengandungi gelatin.
Biasa dihidang di Hari Lebaran. Bimbang terhidang yang haram, syubhah |
Rasa lazat yang anda nikmati, bentuk yang cantik, tekstur yang gebu apabila dikunyah, pekat berkrim apabila diminum, nilai makanan yang lebih baik, mencair di dalam mulut dan seumpamanya adalah hasil daripada manfaat gelatin itu tadi.
Sememangnya gelatin sangat berfungsi dalam memberikan apa sahaja kebaikan dan nilai tambah pada makanan yang kita ambil.
Gelatin tidak asing dalam industri farmaseutikal |
Begitu juga dalam pembuatan farmaseutikal. Disebabkan gelatin mudah larut dalam perut, ia digunakan secara meluas bagi menghasilkan kapsul ubat-ubatan. Turut sama diguna bagi menghasilkan ubat tablet dengan campuran agen pelincir dan anti pelekat. Begitu juga dalam pembuatan supositori iaitu pepejal beberentuk kelongsong atau kon untuk dimasukkan ke dalam rektum atau dubur.
Baik, kita teliti pula sumbernya. Seperti sedia maklum, inilah antara elemen kritikal yang akan mementukan halal haramnya sesuatu produk itu. Islam melihat kepada sumbernya selain proses pembuatan.
Gelatin boleh didapati dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan.
Babi dan lembu adalah dua sumber utama gelatin |
Sumber haiwan lazimnya didapati daripada babi atau lembu. Ini kerana dua binatang ia adalah sumber daging paling utama di dunia. Ada juga yang diperoleh daripada sumber laut seperti ikan. Tetapi ia sangat terhad bahkan mahal.
Sungguhpun gelatin itu bersumberkan lembu. Seperkara ia adalah haiwan yang halal dimakan, cuma persoalannya di sini, adakah ia disembelih menurut syarak?
Firman Allah Azzawajalla: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah”. [An-Nahl: 115]
Justeru, apabila ketidakpastian ini wujud, kita mengkategorikannya sebagai syubhah.
Maka pesan Nabi s.a.w: “…Barangsiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya”. [HR Bukhari & Muslim]
Oleh yang demikian, saya mengingatkan sesama kita. Tolong pelihara sungguh makan minum. Ingatlah bahawa Islam ia datangnya untuk memelihara manusia antaranya di sudut agama dan kehormatan diri.
Sekiranya kita menjaga halal haram dalam kehidupan kita. Apalagi di zaman yang penuh mencabar dan Islam kembali dagang ini, sesungguhnya kita telah memenuhi saranan kekasih kita, Muhammad s.a.w.
Wallahu a’lam.
Sumber : http://arrazzi.blogspot.com
Tuesday, 28 August 2012
Duhai Wanita...
Andai belum sampai jodohmu
Anggaplah bahawa lelaki yang engkau nantikan itu
Sedang membina sahsiah kepimpinan
Bagi memimpin dirimu
Yang akan menjadi imam
Bagi memimpin dirimu
Yang akan menjadi imam
Kerana pada wanita itu
Pasti ada kekurangan dan
Pasti ada kekurangan dan
Lelaki yang benar-benar layak sahaja
Pasti akan hadir untuk melengkapkan kekuranganmu…
Subscribe to:
Posts (Atom)